Friday, 1 July 2011

Penubuhan Sekolah(1)

 
SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

SMK Sg Udang ditubuhkan apabila wujudnya taman-taman perumahan, kem tentera dan penapisan loji Petronas di sekitar Sungai Udang, hal ini kerana perlunya ditubuhkan sebuah sekolah yang berhampiran supaya dapat menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
April 1981, menjadi saksi apabila sebuah sekolah yang dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang telah dibina sempena nama kawasan itu sendiri. Kedudukannya yang strategik iaitu terletak di persimpangan Jalan Sungai Udang - Bertam Ulu dan laluan ke Masjid Tanah memudahkan lagi penduduk di sekitar kawasan ini untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini. Pada tahun pertama penubuhan SMKSU telah menerima khidmat pengetua pertama iaitu Tn Haji Joned Bin Mat Said.
Pada awal penubuhan, sekolah ini hanya mempunyai empat kelas iaitu dua buah kelas peralihan dan dua kelas tingkatan satu dengan jumlah murid seramai 93 orang, sembilan orang guru dan lima orang pekerja. Tetapi pada hari ini jumlah kelas telah bertambah sebanyak 30 buah kelas dengan 750 orang murid, 62 orang guru dan 10 orang kakitangan sokongan.
Antara perubahan yang telah berlaku pada hari ini ialah wujudnya kelas MPV ( Dandanan Rambut) dan  Rekacipta Papan Tanda, Kelas Pendidikan Khas, Kelas aliran Sains Tulen dan Sains Sukan. Selain itu juga terdapat kelas aliran baru yang telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar yang ingin memilih jurusan Seni Visual.
Buat pertama kalinya pada tahun 1982 pelajar-pelajar sekolah ini telah menduduki peperiksaan SRP dengan keputusan terbaik pada tahun 1988 iaitu 80.2 %. Sementara keputusan terbaik bagi PMR ialah pada tahun 2007 iaitu sebanyak 55.5 %.
Sebuah makmal komputer telah didirikan apabila Kementerian Pellajaran Malaysia telah membekalkan sebanyak 20 buah komputer pada tahun 1996. Ini merupakan fasa baru dalam pendidikan dan pembelajaran berasaskan komputer dijalankan di sekolah ini. Sehingga 2007 pelbagai kejayaan telah dicapai oleh pihak sekolah. Kemenangan ini diraih melalui badan uniform, permainan dan persatuan sekolah ini, baik di peringkat kawasan, negeri mahupun kebangsaan.
Pada tahun 1996, dua buah rumah guru telah didirikan di dalam kawasan sekolah untuk menjaga kebajikan guru-guru di sekolah ini. Dengan wujudnya pembukaan loji Petronas, kawasan perindustrian bebas dan taman-taman perumahan baru yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan telah menyebabkan berlakunya pertambahan pelajr begitu mendadak. Bagi menampung pertambahan ini, sekolah dua sesi telah dijalankan. Bermula pada tahun 1997 pembinaan bangunan dua blok tiga tingkat telah dibina untuk mengatasi masalah ini. Bangunan ini terdiri daripada 12 bilik darjah, sebuah makmal kimia, sebuah makmal fizik, dua makmal sains, sebuah pusat sumber, sebuah bilik tayang, sebuah surau perempuan dan tiga bengkel Kemahiran Hidup.
Dengan adanya makmal sains tulen, penubuhan MPV Papan Tanda dan Dandanan dan Solekan ditubuhkan, ini bermakna SMKSU sudah mempunyai aliran pilihan bagi pelajar. Selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan untuk melahirkan perkembangan insan yang seimbang.